Pintu Kaabah Ada Dua ?
Kaabah Mempunyai Dua Pintu?
1. Ketika berlakunya ribut yang kuat semalam, kelambu Kaabah telah terselak sehingga ternampak binaan batu yang seakan ada pintu yang telah ditutup. Ada yang bertanya, apakah Kaabah mempunyai dua pintu pada asalnya?
- Melihat dinding Kaabah tersebut, teringat saya hadith Rasulullahﷺ yang menyatakan bahawa Rasulullahﷺ berharap agar Kaabah dibina dengan binaannya yang asal dan Rasulullah berhasrat untuk membuat dua pintu untuk Kaabah. Tetapi bimbang kerana Quraysh akan membantah, maka binaan sedemikian tidak diteruskan. Perbualan antara Rasulullahﷺ dengan Saidatina Aisyah ini direkodkan di dalam Sahih Muslim:
عنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «أَلَمْ تَرَيْ أَنَّ قَوْمَكِ حِينَ بَنَوْا الْكَعْبَةَ اقْتَصَرُوا عَنْ قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ» قَالَتْ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَفَلَا تَرُدُّهَا عَلَى قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ»
“Rasulullahﷺ berkata kepada Aisyah: Tidakkah engkau tahu bahawa kaummu Quraysh telah membina Kaabah kurang (atau tidak sempurna) dari binaannya yang asal yang dibina oleh Nabi Ibrahim. Lalu Aisyah berkata: Mengapa engkau tidak mendirikannya semula sesuai dengan asas binaan yang dibina oleh Nabi Ibrahim? Lalu Rasulullahﷺ menjawab: Kalaulah bukan kerana kaummu masih dekat dengan kekufuran, maka aku telah binanya semula (seperti yang dibina oleh Nabi Ibrahim)”
- Menurut hadith ini, Kaabah yang dibina oleh Quraysh sebenarnya adalah tidak sama dengan binaan asal yang dibuat oleh Nabi Ibrahim. Sewaktu pembinaan semula Kaabah, Qurasyh menghadapi kekurangan bajet sehingga HIjir Ismail yang pada asalnya adalah sebahagian dari Kaabah telah terpisah dari Kaabah. Dalam riwayat Muslim juga disebutkan:
ولجعلت لها بابا يدخل الناس منه وبابا يخرجون منه
“dan aku akan membina bagi Kaabah ini dua pintu, satu pintu untuk manusia masuk dan satu pintu untuk mereka keluar.
Manakala di dalam Sahih al-Bukhari pula, Rasulullah direkodkan sebagai menyebut:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا عَائِشَةُ لَوْلَا أَنَّ قَوْمَكِ حَدِيثُو عَهْدٍ بِشِرْكٍ لَهَدَمْتُ الْكَعْبَةَ فَأَلْزَقْتُهَا بِالْأَرْضِ وَجَعَلْتُ لَه بَابَيْنِ بَابًا شَرْقِيًّا وَبَابًا غَرْبِيًّا
“Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, kalaulah bukan kerana kaummu masih dekat dengan kekufuran, maka aku akan runtuhkan kembali Kaabah, aku rapatkankan binaannya dengan tanah dan aku bina bagi Kaabah itu dua pintu, satu di timur dan satu di barat.”
- Apabila sampai zaman Abdullah ibn Zubair menjadi Gabenor Mekah, Kaabah telah terbakar dan beliau memperbaiki Kaabah selaras dengan hasrat Rasulullahﷺ iaitu membina baginya dua pintu. Namun setelah beliau meninggal, Khalifah sesudahnya iaitu Abdul Malilk menutup pintu itu kembali kerana perselisihan yang berlaku antara mereka.
- Apabila tiba zaman Khalifah al-Mahdi, beliau ingin membinanya semula seperti yang dibina oleh Abdullah ibn Zubayr, tetapi telah dihalang oleh al-Imam Malik. Al-Imam Malik menyatakan bahawa: “Janganlah Kaabah ini menjadi permainan pemerintah”. Lalu Kaabah kekal atas keadaannya yang sedemikian. Kesungguhan Khalifah Abbasiyyah untuk membina Kaabah seperti yang disarankan oleh Rasulullah direkodkan didalam Fath al-Bari oleh Ibn Hajar. (turut dinyatakan pandangan Ibn Abd al-Barr dan al-Qadi ‘Iyad).
- Perselisihan pimpinan Muslim terkadang menjadikan mereka menzahirkan pandangan mereka dan mengaplikasikannya pada sesuatu yang bukan utama. Sehinggalah al-Imam Malik memberikan pandangannya yang tegas dan berharap tumpuan diberikan kepada perkara yang lebih utama seperti kesatuan Ummah.
Moga terdapat pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa sirah ini.
Artikel Haji 1439H
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
Pensyarah USIM
Leave a Reply
Want to join the discussion?Feel free to contribute!